Dr G Gunarajah
ADNSELANGOR

Jenayah makin naik, ADN Sentosa gesa tambah anggota polis

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan diminta menambah jumlah anggota polis di Balai Polis Taman Sentosa berikutan peningkatan kes jenayah sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa berkata kemudahan kelengkapan juga perlu ditambah baik di balai tersebut bagi menampung kepadatan lebih 150,000 penduduk sekali gus menjamin keselamatan mereka.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa mempunyai sebuah balai polis sahaja malah difahamkan hanya tiga hingga empat anggota bertugas dalam satu-satu masa.

“Saya dapati balai ini tidak dilengkapi dengan kereta peronda yang sememangnya menyukarkan tugas anggota membuat pengawasan. Justeru, dua aspek ini harus diberi perhatian khusus bagi mengurangkan kadar jenayah,” kata Dr G Gunarajah kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata meskipun bilangan anggota di balas polis berkenaan tidak ramai namun petugas sedia ada sentiasa bersedia meneruskan khidmat bakti.

“Kekurangan jumlah anggota itu bukan halangan untuk mereka melaksanakan aktiviti pencegahan jenayah dan kami sentiasa bersama polis mencegah sebarang salah laku di kawasan ini,” katanya.


Pengarang :