Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan secara pandu lalu pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jimat masa, saringan pandu lalu di semua lokasi

KAJANG, 8 MEI: Kaedah pandu lalu mungkin digunakan di semua lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di seluruh negeri yang berlangsung hari ini hingga 10 Jun.

Pengurus Klinik Selcare berkata pendekatan itu selain hadir terus yang dibuat serentak lebih menjimatkan masa dan memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Mungkin ada yang takut nak datang berbaris beramai-ramai jadi langkah selamat duduk sahaja dalam kereta. Mungkin ada warga emas yang kurang upaya bergerak, jadi boleh duduk dalam kereta.

“Bagi yang duduk bawah khemah jangan bimbang kita masih kawal penjarakan,” kata Mohd Noor Md Nasir pada program saringan Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Cempaka, Saujana Impian di sini.

Beliau menjelaskan sebanyak empat lokasi menggunakan kaedah itu membabitkan Kajang dan Semenyih serta dua lagi sebelum ini di Sungai Long dan Shah Alam.

Mohd Noor menambah pihaknya sentiasa menambah baik kaedah saringan bagi memastikan ia berjalan lancar selepas lebih setahun menjalankan program berkenaan.

“Bagi mereka yang sudah daftar, ada kod bar tidak sampai lima minit sudah selesai. Selepas ujian, boleh balik duduk di rumah dan kemudian keputusan akan diperoleh,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri bermula hari ini hingga 10 Jun.

Program permulaan Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 Negeri Selangor memanfaatkan rakyat berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :