Keadaan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Jumlah kes Covid-19 ke ICU meningkat 94 peratus di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Jumlah kemasukan kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk kes yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti di Lembah Klang telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital Covid-19 di negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Hospital Covid-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19, melalui pengubahan semula wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang betul.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada kini berada dalam tekanan yang luar biasa. Petugas barisan hadapan sudah lesu dan kepenatan. Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes Covid-19 harian tertinggi iaitu 6,075 kes.

– BERNAMA


Pengarang :