Jalan raya Kampung Bingkul, Beaufort, Sabah dinaiki banjir kilat apabila paras air Sungai Padas naik pada 17 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir meningkat di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi, dengan kenaikan mendadak direkodkan di Negeri di Bawah Bayu.

Di Sabah bilangan mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 332 mangsa setakat 4 petang ini, berbanding 67 mangsa pagi tadi.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, lima lagi PPS dibuka hari ini ialah empat di daerah Tenom dan satu di Sipitang, menjadikan lapan PPS diaktifkan di negeri itu setakat ini.

Lima PPS di Tenom iaitu Rumah Kebudayaan Kalang Kanar menempatkan 26 mangsa, PPS Rumah Kebudayaan Kalibatang Lama (34 mangsa), PPS Rumah Kebudayaan Mamaitom (11 mangsa), PPS Rumah kebudayaan Marias (72 mangsa) dan PPS Dewan Gereja (RC) Kampung Bangkulin menempatkan 54 mangsa.

“Sementara itu di PPS Dewan DP Mohd Dun Banir terdapat 90 mangsa dan PPS Kampung Pauh, Sook Keningau pula kekal menempatkan 41 orang sejak semalam. Satu PPS di Dewan Sindumin Sipitang pula menempatkan empat mangsa,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pertambahan jumlah mangsa banjir itu dipercayai disebabkan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan semalam yang berlarutan sehingga tengah malam menyebabkan paras air di beberapa batang sungai melimpah dan menenggelamkan beberapa jalan serta kampung.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di daerah Lawas meningkat kepada 79 orang setakat petang ini berbanding 48 mangsa pagi tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kesemua mangsa terbabit ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Masyarakat Trusan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Trusan susulan beberapa kawasan di Lawas dinaiki air sejak malam tadi.

– BERNAMA

 


Pengarang :