Pemain boling elit negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman beraksi semasa sesi latihan di Sunway Mega Lanes pada 28 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Jurulatih, dua atlet skuad boling tenpin positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Sambutan Syawal buat atlet boling tenpin negara pastinya berlainan kali ini apabila mereka terpaksa meraikannya secara berasingan selepas tiga daripada atlet disahkan positif Covid-19.

Setiausaha Agung Konfederasi Boling Tenpin Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata selepas seorang jurulatih skuad Program Podium disahkan positif pada Jumaat lepas, kesemua atlet segera menjalankan ujian saringan dan menjalani kuarantin.

Keputusan diperolehi pada Sabtu mendapati masing-masing seorang atlet lelaki dan wanita positif wabak berkenaan.

“Setakat ini, hanya pasukan Program Podium sahaja terlibat, membabitkan 22 atlet dan empat jurulatih yang menjalani kuarantin selama 10 hari sehingga 17 Mei. Mereka akan menjalani ujian kedua pada 16 Mei dan kami berharap tiada yang positif.

“Hanya seorang atlet lelaki dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) manakala jurulatih dan seorang lagi atlet menjalani kuarantin di rumah,” katanya ketika dihubungi.

Skuad boling tenpin negara menghentikan sesi latihan mereka sejak Jumaat susulan pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lembah Klang kerana Sunway Megalanes yang menjadi venue latihan pasukan terletak di Sunway Pyramid.

Maradona berkata punca jangkitan masih belum diketahui, dan menjelaskan skuad boling tenpin mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat sepanjang sesi latihan termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Mereka memulakan latihan sejak dua minggu lepas yang bermula pada 28 April, sepuluh hari selepas dikejutkan dengan seorang atlet junior dan jurulatihnya Azidi Ameran disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :