Hospital Sungai Buloh dilengkapi pelbagai kemudahan khusus bagi merawat penyakit berjangkit. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar guna kapasiti kesihatan naik ke tahap membimbangkan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang mutakhir ini adalah amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 itu berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua minggu yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini, sebanyak 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja.

Terdapat tujuh hospital dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 termasuk satu hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 277 katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit Covid-19dan bukan Covid-19untuk negeri-negeri Lembah Klang dan daripada jumlah itu, sebanyak 152 katil kritikal dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.

“KKM memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit Covid-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi tempoh 1 Jan 2021 hingga hari ini (1 Mei), kadar insiden kes Covid-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk ialah sebanyak 872. Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi ialah Kuala Lumpur (1,583), diikuti Selangor (1,486) dan Putrajaya (1,140).

Nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) terkini Malaysia ialah 1.14 manakala nilai Rt Selangor (1.20), Kuala Lumpur (1.16) dan Putrajaya (1.0). Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0, kata Dr Noor Hisham.

– BERNAMA

 


Pengarang :