Seorang pekerja kesihatan yang memakai sut perlindungan diri (PPE) menyusun katil hospital bagi merawat pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar guna katil ICU Covid-19 cecah 83 peratus

SHAH ALAM, 21 MEI: Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara mencecah tahap 83 peratus setakat semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri yang mencatat kadar penggunaan tinggi meliputi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Putrajaya, Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka turut mencatatkan nilai tinggi melebihi 70 peratus.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan di Facebook pagi ini.

Dr Noor Hisham turut menyeru majikan memberi kebenaran kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah selain mengehadkan bilangan mereka ke pejabat pada satu-satu masa.

Sebanyak 6,806 kes baharu dan 59 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik menular dalam negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,967 kes atau 43 peratus dilaporkan di Lembah Klang.

Sumber Facebook Noor Hisham Abdullah

Pengarang :