Keadaan unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar guna katil ICU Covid-19 lebih 80 peratus di Selangor

SHAH ALAM, 19 MEI: Selangor antara enam negeri yang mencatat lebih 80 peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 setakat semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri lain yang merekodkan kadar yang sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang telah mencapai 89 peratus dan 74 peratus di seluruh negara,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook.

Beliau menjelaskan hospital yang mengendalikan kes wabak turut meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi wad biasa.

Bagaimanapun katanya, langkah itu mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Semalam, jangkitan baharu wabak meningkat kepada 4,865 kes yang mana individu yang dirawat dalam ICU ialah 531 orang dengan 277 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.


Pengarang :