Orang ramai beratur menjalani saringan pada program Saringan Komuniti Covid-19 di gelanggang bola keranjang Pusat Komuniti Bandar Utama, Damansara pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kaedah ‘henti dan maju’ selesai saringan individu dalam tempoh 10 minit

DAMANSARA, 25 MEI: Kaedah ‘henti dan maju’ yang pertama kali diperkenalkan hari ini berjaya melancarkan proses Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) berkata inisiatif itu membolehkan penyaringan setiap individu dilaksanakan dalam tempoh kurang 10 minit selepas pendaftaran.

“Peserta perlu ‘henti’ di khemah bagi mendapatkan kod QR, kemudian mereka perlu ‘maju’ ke kawasan saringan dan disaring yang mengambil masa antara tiga hingga enam minit sebelum selesai sepenuhnya

“Hari ini kita lihat proses saringan di DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku berjalan lancar meskipun ramai hadir,” kata Dr Muhammad Farhan Rosli kepada SelangorKini.

Beliau berkata pendekatan itu diambil susulan angka pendaftaran tinggi pada saringan sebelum ini terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

“Selain itu slot janji temu yang disediakan menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) turut membantu urusan saringan,”katanya.

Sejak 8 Mei lalu, seramai 36,780 individu menyertai 20 Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan DUN sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.


Pengarang :