Orang ramai memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal ketika menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjauan pada 6 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kapasiti pengangkutan awam dihadkan 50 peratus mulai Selasa

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kapasiti penumpang bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut dihadkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum, berkuat kuasa 25 Mei ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) dalam menangani situasi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo dikecualikan berikutan kapasiti penumpang yang sudah rendah.

“Syarikat penerbangan dan penumpang juga perlu mematuhi SOP ketat seperti yang ditetapkan oleh MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pengangkutan awam adalah perkhidmatan yang penting namun dalam tempoh ini, mengelakkan himpunan secara ramai dan mengurangkan pergerakan adalah perkara yang lebih utama,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Wee menjelaskan agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian itu akan mengemas kini jadual perjalanan termasuk mengehadkan frekuensi perkhidmatan bagi bas, feri, rel dan kereta api.

Beliau berkata pengguna pengangkutan awam digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web rasmi dan media sosial penyedia perkhidmatan yang berkaitan.

Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing pula, Wee berkata setiap kenderaan penumpang dihadkan kepada tiga orang (seorang pemandu dan dua penumpang), termasuk bagi kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan van.

Beliau menegaskan pengguna pengangkutan awam perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau daerah daripada polis sekiranya menggunakan pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan.

Anggota penguat kuasa akan ditempatkan di stesen dan terminal pengangkutan awam bagi memastikan pematuhan SOP pencegahan Covid-19 serta memantau keadaan semasa bersama pihak keselamatan agensi yang berkaitan, katanya.

Wee turut menyeru pengguna pengangkutan awam agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan di semua stesen dan terminal.

-BERNAMA


Pengarang :