Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) ketika tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 13 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan lebih ketat di 13 sekatan jalan KL mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Polis Kuala Lumpur akan mengetatkan kawalan di 13 sekatan jalan raya (SJR) sedia ada bermula esok, seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata antara yang akan dilaksanakan ialah pemeriksaan lebih terperinci ke atas dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan majikan.

“Polis akan mengekalkan 13 SJR sedia ada di Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun dengan pemeriksaan lebih terperinci,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersedia untuk mengatur gerak anggota bagi memantau dan membantu agensi berkaitan jika ada lokaliti lain dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain dua lokaliti semasa iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau.

Buat masa ini, polis membantu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengagihkan bekalan makanan kering selain melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan di dua lokaliti berkenaan, katanya.

Dua lokaliti itu diletakkan di bawah PKPD bermula semalam hingga 5 Jun ini.

-BERNAMA


Pengarang :