Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Iftar Perdana KEADILAN Negeri Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN sasar bertanding 25 kerusi DUN Selangor

SHAH ALAM, 2 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyasarkan untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata pihaknya juga akan membincangkan lebih lanjut kedudukan tiga kerusi Parlimen di negeri itu.

“Insya-Allah menjelang PRU akan datang, kita ingin menambah daripada 21 kerusi (sedia ada) menjadi 25.

“Begitu juga di kerusi Parlimen ada tiga lagi perlu dibincang iaitu dua daripadanya, Sungai Besar yang hampir pasti kita dapat dan satu lagi Tanjong Karang sedang dalam perkiraan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada program iftar perdana KEADILAN Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli majlis pimpinan pusat KEADILAN.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menambah kesempatan menganjurkan program berbuka puasa itu digunakan untuk memperkukuh ukhwah dan solidariti dalam mendepani musuh politik yang menunggu merosakkan parti.

“Selangor adalah sebahagian tiang seri penting. Saya tahu kalau mereka (musuh) berjaya merampas dan menggugat, kita juga akan tergugat secara amnya di Malaysia.

“Sebab itu dari semasa ke semasa, kita memperkukuh… dan Selangor antara negeri pertama yang berjaya membentuk seluruh jawatankuasa pilihan raya parlimen,” katanya.


Pengarang :