Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) melawat lokasi kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen LRT KLCC pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kecuaian pemandu punca insiden LRT bertembung – menteri

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Dapatan awal punca kemalangan dua tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC semalam disebabkan kecuaian pemandu gerabak (hostler) salah satu tren yang memandu dalam arah yang salah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tren bernombor 40 (TR40) iaitu gerabak kosong sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke stesen Dang Wangi tetapi didapati bergerak ke arah utara, sekali gus mengakibatkan pelanggaran dengan TR81 yang membawa 213 penumpang.

Ia berdasarkan hasil siasatan awal yang dijalankan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Katanya, sebelum kejadian, TR40 yang dikendalikan secara automatic train operation (ATO) bergerak dari Gombak ke depoh Subang pada jam 8.21 malam iaitu arah selatan, bagaimanapun ia mengalami kegagalan ‘time out’ dan berhenti semasa menghampiri stesen Kampung Baru.

“Pemandu kemudian diarahkan memandunya secara manual dari stesen Kampung Baru menuju stesen Dang Wangi dan perlu bergerak ke arah yang sama bagi memberi laluan kepada tren yang berada di arah selatan atau yang berada dalam mode ATO untuk meneruskan perjalanan.

“Pada masa yang sama, TR81 yang beroperasi secara ATO berada dalam keadaan statik di platform stesen KLCC arah selatan, pada 8.24 malam TR81 telah berlepas dari stesen KLCC ke stesen Kampung Baru setelah menerima maklumat bahawa TR4O telah beredar dari stesen Kampung Baru menuju ke stesen Dang Wangi,” katanya.

Namun, Wee berkata pada jam 8.33 malam, pemandu menghubungi pusat kawalan operasi (OCC) memaklumkan TR40 bertembung dengan TR81.

“Kira-kira jam 8.36 malam, OCC telah memaklumkan agensi tindakan kecemasan dan melantik pegawai bertanggungjawab di kawasan insiden sebelum pihak polis dan ambulans tiba di tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wee berkata pasukan panel penyiasat khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan siasatan dan laporan siasatan perlu dikemukakan kepada kementerian dalam tempoh 14 hari sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri.

Mengenai jumlah kerugian, Wee berkata setakat ini ia belum dapat ditafsirkan dan ketika ini kerja pembersihan dan baik pulih landasan sedang giat dilakukan.

“Ikut tatacara operasi piawai, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih hanya tiga hari dan jumlah kerugian akan dianggarkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, hanya satu landasan digunakan dan sekiranya terdapat keperluan, Prasarana akan menambah frekuensi perkhidmatan terutamanya pada waktu puncak.

-BERNAMA


Pengarang :