Selangorkini
Anggota polis memeriksa dokumen pengguna jalan raya ketika melakukan sekatan di Plaza Tol Gombak bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ketika tinjauan pada 7 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Keluarga anggota polis beraya di sekatan jalan, tidak langgar SOP PKP

PUTRAJAYA, 15 MEI: Hasil siasatan polis mendapati gambar tular di media sosial melibatkan keluarga yang didakwa tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan isteri membawa anak-anak melawat suami bertugas di sekatan jalan raya (SJR) adalah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah ini bersama keluarga dan anak.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata gambar tular itu disahkan berlaku pada 13 Mei, kira-kira 1 tengah hari di SJR Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, melibatkan anggota IPD Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah Putrajaya bersama keluarga dan tiga orang anak berumur 11 tahun, 10 tahun dan 5 tahun.

“Kehadiran isteri dan anak anggota pada hari tersebut adalah bagi memberi sokongan moral kepada anggota berkenaan kerana bertugas di pagi raya di samping menyerahkan juadah hari raya. Selesai bersalaman, keluarga anggota tersebut telah beredar pulang ke rumah. Pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata imej polis tercalar ekoran gambar yang tular semalam pada 11 pagi yang menunjukkan keluarga anggota tersebut tidak patuh SOP PKP dengan melawat suami yang bertugas di SJR Putrajaya.

Mohd Fadzil menegaskan pihak IPD Putrajaya tidak akan berkompromi sekiranya wujudnya pelanggaran SOP PKP dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di atas maklumat yang disalurkan kepada polis bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi.

Beliau turut menasihati orang awam sentiasa merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat perkongsian di media sosial.

– BERNAMA

 


Pengarang :