Gelanggang bola sepak dengan gaya permainan baharu tanpa sentuhan fizikal, dikenali sebagai Footy. Foto Facebook Ken Barnes Football Malaysia
AGENDASUKANKINI

Ken Barnes perkenal sukan bola sepak tanpa sentuhan fizikal

PUTRAJAYA, 16 MEI: Peminat bola sepak kini boleh bermain dengan cara yang selamat semasa pandemik Covid-19 dengan gaya permainan baharu tanpa sentuhan fizikal, dikenali sebagai Footy.

Diperkenalkan oleh Ken Barnes Football Malaysia, Footy dibangunkan kerana menyedari keperluan individu terutama peminat bola sepak untuk kekal aktif dan cergas dalam norma baharu serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua Pegawai Operasi Ken Barnes Football Malaysia Subramaniam Palandaram berkata Footy diilhamkan semasa pandemik Covid-19 ketika golongan belia bergelut untuk melakukan aktiviti sukan terutamanya bola sepak.

“Oleh itu kami memutuskan untuk mencipta bola sepak khas tanpa sentuhan fizikal yang dapat membantu golongan belia kita untuk bermain secara selamat semasa pandemik ini. Kelebihan Footy ia adalah selamat, tiada sentuhan badan dan risikonya adalah terlalu kecil atau tidak berpeluang mendapat jangkitan Covid-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Subramaniam berkata beliau mencipta Footy apabila menyedari pandemik mengubah gaya hidup dalam aktiviti sukan sepenuhnya dengan banyak sekatan dikenakan menyebabkan sukar untuk bermain atau mengambil bahagian.

“Dengan begitu banyak SOP dikenakan kami rasakan perlu mempunyai permainan yang senang dimain dan mematuhi peraturan penjarakan fizikal,” katanya.

Subramaniam berkata Footy dicipta di Malaysia dan adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan ia seharusnya dipromosikan di seluruh negara untuk menawarkan platform alternatif kepada orang ramai untuk terus kekal cergas dari segi fizikal dan mental, pada masa yang mencabar ini.

“Kami belum lagi memperkenalkannya di luar Malaysia tetapi kami teruja untuk pergi ke negara jiran sebaik sahaja sekatan perjalanan dilonggarkan untuk mempromosikan sukan ini sebagai norma baharu,” katanya.

Dalam satu pertandingan Footy yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya antara IPD Putrajaya dan Kelab Media Putrajaya, Harry Salzman Abu Bakar yang mewakili Kelab Media Putrajaya begitu teruja kerana ia merupakan kali pertama mengenali sukan tersebut.

“Memang tidak pernah tahu ada sukan bola sepak jarak fizikal. Amat menarik kerana sukan ini sesuai sekali terutama dalam keadaan norma baharu. Ia membolehkan masyarakat bersukan tanpa halangan atau risau dengan risiko penularan Covid-19. Bola sepak tradisional ada bersentuhan tetapi ini tiada sentuhan dan kedudukan setiap pemain ada jarak,” katanya.

Beliau yang melihat sukan Footy seakan-akan permainan galah panjang, berharap sukan itu dapat dipromosikan kerana selain selamat daripada risiko penularan Covid-19, ia juga kurang berisiko mendatangkan kecederaan, di samping dapat meningkatkan kecergasan kerana ia melibatkan banyak pergerakan seperti berlari.

Bagi Pemangku Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di IPD Putrajaya, ASP Lenny Kandawar, 40, yang mewakili IPD Putrajaya berpendapat sukan berkenaan boleh diketengahkan terutama dalam situasi pandemik Covid-19 iaitu tiada sentuhan.

“Secara umumnya, sukan bola jarak fizikal ini seakan-akan futsal, cuma ia disesuaikan agar dapat dimainkan di musim pandemik Covid-19 yang tiada sentuhan dan bentesan antara pemain,” katanya.

Beliau berkata strategi kemenangan dalam sukan bola sepak jarak fizikal, yang melibatkan lima pemain sepasukan termasuk penjaga gol, adalah semangat berpasukan, taktikal yang betul dan semangat melawan serta tidak mudah mengalah.

“Penyerang perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada kerana hanya perlu berhadapan dengan penjaga gol setelah bola melepasi kawalan dua orang pertahanan. Secara mudahnya, satu peluang satu gol, di samping pemain pertahanan perlu menutup setiap ruang bagi pihak lawan menghantar bola kepada penyerang,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :