Pengunjung membeli daun ketupat palas yang siap dianyam di Pasar Tani @Khas Aidilfitri di Perkarangan Stadium Shah Alam pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri sedia beli hasil tani gagal dijual

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Negeri sedia membeli hasil pertanian yang gagal dijual akibat penutupan beberapa premis yang tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide).

EXCO Industri Asas Tani berkata pihaknya sentiasa memantau situasi itu kerana Selangor menjalankan inisiatif yang sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tahun lepas kita peruntuk RM1 juta untuk membeli produk pertanian yang tidak dapat dijual ketika PKP. Tahun ini juga sama.. kita tiada peruntukan tetap, ia bergantung kepada keperluan, kita luluskan dan beli.

“Baru-baru ini kita beli pisang berangan sebanyak empat tan dengan nilai RM8,000 di mana kita jual semula di pasar tani dengan harga istimewa,” kata Ir Izham Hashim ketika melawat Pasar Tani Stadium Shah Alam.

Beliau menjawab soalan tindakan yang akan diambil bagi membantu petani yang tidak dapat menjual produk susulan premis terpaksa ditutup selepas disenarai dalam Hide.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 54 lokasi di negeri ini disenaraikan berpotensi menjadi titik panas penularan Covid-19 dalam jangka masa 7 hari.

Daripada jumlah itu, lebih 75 peratus terdiri dari pasar raya termasuk pusat beli-belah terkemuka manakala selebihnya melibatkan kilang, restoran dan bazar Ramadan, pasar moden serta institusi pendidikan.


Pengarang :