Petugas Klinik Selcare melakukan ujian calitan pandu lalu kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Orang Ramai Bandar Rinching, Semenyih pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 kekal lebih 4,000, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas menunjukkan sedikit peningkatan apabila 4,140 kes direkodkan hari ini berbanding 4,113 kes semalam menjadikan jumlah kes positif keseluruhan kini 466,330.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitter beliau berkata dalam tempoh itu, Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,507 kes diikuti Johor (433) dan Kuala Lumpur (398).

Pulau Pinang merekodkan sebanyak 338 kes diikuti Sarawak (324), Kedah (239), Negeri Sembilan (190), Perak (182), Terengganu (119), Pahang (116), Melaka (97), Sabah (60), Putrajaya (23), Labuan (tiga) dan Perlis (dua).

Dr Noor Hisham memaklumkan 44 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 43 warganegara dan seorang bukan warganegara, adalah yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Setakat ini, jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 ialah 1,866 kes,” katanya.

Beliau berkata jumlah kes sembuh yang dicatatkan hari ini ialah 3,432 dan seramai 503 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

Dr Noor Hisham juga berkata sebanyak 15 kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk lapan kluster di tempat kerja, keagamaan (empat), pendidikan (dua) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Kluster di tempat kerja melibatkan Kluster Lebuh Sultan dan Sungai Pinang Tujuh di Selangor, Tapak Bina Persiaran Stonor (Kuala Lumpur), Jalan Kilang Midah (Kuala Lumpur dan Selangor), Jalan Tey Mia Jen, Jalan Perindustrian Tiga serta Jalan Bertingkat Skudai (Johor) dan Perusahaan Maju Lapan (Pulau Pinang).

Dr Noor Hisham berkata kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Jalan Keramat Wangsa di Kuala Lumpur, Jalan Telipot (Kelantan), Persiaran Lavender (Negeri Sembilan) dan Kemunting (Pahang).

“Kluster pendidikan melibatkan Kluster Jalan Alsagoff (Johor) dan Impian Indah (Selangor) manakala kluster kumpulan berisiko tinggi pula melibatkan Kluster Jalan Sultan Azlan Shah di Pulau Pinang,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa penularan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 10 kluster turut ditamatkan hari ini menjadikan jumlah kluster yang ditamatkan ialah 1,410 manakala kluster aktif sebanyak 466.

– BERNAMA


Pengarang :