Pekerja kesihatan menerima vaksin Covid-19 jenis Sinovac di Hospital Pattani di Selatan Thailand pada 30 April 2021. Foto: BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 100,000

BANGKOK, 16 MEI: Kes Covid-19 di Thailand kini melepasi angka 100,000, dengan 2,302 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 101,447.

Pada masa sama, Thailand mencatatkan 24 lagi kematian menjadikan jumlah korban seramai 589 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 2,279 kes babitkan jangkitan tempatan dan 23 kes import termasuk tiga warga tempatan yang pulang dari Malaysia.

Beliau berkata kes baharu kematian pula melibatkan 13 lelaki dan 11 wanita berusia antara 39 dan 91 tahun termasuk lapan dari Bangkok, masing-masing dua di Chon Buri dan Pathum Than.

Apisami turut menyuarakan kebimbangan berikutan kemunculan kluster baharu di sebuah tapak pembinaan di Lak Si, Bangkok selepas 559 pekerja didapati positif Covid-19.

Media tempatan melaporkan terdapat hampir 400 kem pekerja di Bangkok dengan kira-kira 60,000 pekerja binaan.

Meskipun jumlah kes baharu meningkat,Thailand akan melonggarkan sekatan termasuk membenarkan makan di restoran di wilayah yang berada di bawah kawalan ketat – Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Bagaimanapun, restoran di kawasan dan wilayah ini hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 25 peratus sehingga 9 malam dan dilarang menghidangkan alkohol. Perkhidmatan bawa pulang dibenarkan beroperasi sehingga 11 malam (waktu tempatan).

Arahan yang ditandatangani Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha itu telah dimasukkan dalam Warta Diraja malam tadi.

Bagaimanapun, semua institusi pendidikan di wilayah terbabit masih ditutup.

– BERNAMA


Pengarang :