Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes Covid-19 merebak lebih luas tanpa Saringan Komuniti

SHAH ALAM, 17 MEI: Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor mungkin meningkat sekiranya 388 individu yang dikesan positif menerusi Saringan Komuniti minggu lalu tidak datang mendaftar.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) meminta orang ramai menyebarkan maklumat dan hadir saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi melawan virus.

“Jika 388 individu tersebut tidak datang mendaftar untuk saringan, pasti mereka akan menjangkiti orang lain yang menyebabkan perebakan lebih luas.

“Saringan Komuniti secara percuma ini sangat penting untuk kita melawan virus ini. Sebarkan maklumat dan hadir ke saringan berdekatan,” kata STFC di Facebook.

Pada 8 sehingga 11 Mei lalu, saringan percuma dilaksana di lapan lokasi di Hulu Langat dengan 8,585 individu mendaftar dan 388 daripadanya didapati positif.

Sementara itu, STFC memaklumkan, jumlah kes baharu Covid-19 di Selangor naik pada minggu lalu dengan pertambahan lebih 3,000 kes berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, dalam tempoh 8 hingga 14 Mei lalu sebanyak 10,611 kes dikesan berbanding 7,380 kes bagi tempoh yang sama pada minggu sebelumnya.

“STFC akan sentiasa mengemas kini lokasi saringan dari semasa ke semasa di media sosial rasmi.

“Patuhi tatacara operasi piawai (SOP), sentiasa berpesan kepada keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling tentang kepentingan pematuhan SOP pada ketika ini,” katanya.

STFC juga memaklumkan, Saringan Komuniti pada minggu ini bermula esok di daerah Gombak iaitu di Dewan Serbaguna MPAJ dan Dewan Serbaguna MPAJ AU2 mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

 


Pengarang :