Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Kes Covid-19 Selangor kembali meningkat, 1,328 jangkitan baharu

SHAH ALAM, 11 MEI: Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali meningkat kepada 1,328 berbanding 1,149 yang dicatatkan semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu kekal merekodkan kes tertinggi dalam negara dengan 697 kes berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 513 lain-lain saringan dan 118 jangkitan kluster,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan lima kluster baharu dikesan iaitu kluster Jalan Haji Abdul Aziz, kluster Jalan Utarid Lima, kluster Jalan Sepuluh Industri Miel, kluster Kota Warisan dan kluster Jalan Mempelam.

Katanya terdapat enam kematian dilaporkan membabitkan lima lelaki dan seorang wanita warganegara berusia lingkungan 31 hingga 83 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pula memaklumkan sebanyak 1,073 pesakit pulih menjadikan keseluruhan sembuh adalah seramai 145,747.

“Kes aktif yang sedang dirawat sebanyak 5,229 dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan luar negara,” katanya menerusi Facebook.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 145,747 kes positif dengan 438 maut disebabkan wabak tersebut.


Pengarang :