Nyamuk Aedes Aegypti ditunjukkan dalam gambar Pusat Kawalan Penyakit (CDC) pada 2006. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Kes denggi sekitar Petaling Jaya turun 80 peratus

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah kes demam denggi sekitar Petaling Jaya susut sehingga 80 peratus membabitkan 386 kes setakat 8 Mei.

Tahun lalu, kawasan tersebut merekodkan 1,976 kes dalam tempoh sama.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata banyak tempat berisiko pembiakan nyamuk Aedes dikesan terutama persekitaran rumah.

“Banyak bekas-bekas botol atau takungan air tidak dilupuskan atau disusun dengan teratur sehingga menyebabkan berlakunya takungan air hujan.

“Keadaan ini akan menambah risiko kepada penduduk ekoran pembiakan nyamuk Aedes yang tidak terkawal,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MBPJ mengajak orang ramai meluangkan masa selama 10 minit untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan Aedes.

“Atas faktor cuaca tidak menentu, MBPJ khuatir pembiakan Aedes mudah berlaku di kediaman atau tempat kerja jika pembersihan terutama bekas takungan air tidak dilakukan,” kata PBT itu.

Berikut saranan MBPJ untuk mencegah pembiakan Aedes:

  • Memeriksa dan melupuskan bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes secara teratur
  • Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air yang tidak dapat dilupuskan
  • Menggunakan penghalau nyamuk semasa menjalankan akitiviti luar ruamah terutama pada awal pagi dan lewat petang
  • Menyembur aerosol dalam rumah pada lewat senja bagi membunuh nyamuk dewasa

Pengarang :