Petugas kesihatan di Maeps Serdang. Foto Facebook KKM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes seluruh negara makin meningkat, Selangor catat lebih 2,200 kes

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Wabak Covid-19 semakin membimbangkan apabila kes harian dan kematian tertinggi dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas iaitu 6,806 kes baharu dan 59 lagi maut akibat virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 14 kes kematian dilaporkan di Johor, 10 kes di Selangor, Kuala Lumpur (lapan), Kelantan (enam), masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga kes di Kedah, Perak, dan Terengganu manakala Sarawak (dua), serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 58 warga tempatan dan seorang bukan warganegara dalam lingkungan umur antara 37 hingga 91 tahun dengan majoriti individu menghidap penyakit kronik.

Selain itu, Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 2,277 kes diikuti Kuala Lumpur (655), Johor (615) dan Sarawak (608).

Jumlah kumulatif kes kematian kini 2,099 manakala jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 492,302 kes.

Dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan kes baharu melibatkan 6,804 kes penularan tempatan dan hanya dua kes import menjadikan kes aktif kini 50,171 manakala 3,916 kes sembuh dilaporkan.

“Jumlah individu yang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 587 kes dengan 330 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata terdapat 24 kluster baharu dikesan hari ini melibatkan sembilan kluster di tempat kerja, enam kluster keagamaan, tujuh kluster komuniti.

Selain itu, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, iaitu Tok Dor di Terengganu dan kluster institut pendidikan Kementerian Pendidikan, Kandis di Kelantan.

“Kluster tempat kerja dinamakan Jalan Bunga Azalea di Selangor; Jalan Makasar (Johor), Teknologi dan Jalan Kampung Juru masing-masing di Pulau Pinang; Lorong Karamunsing, Jalan Tun Fuad dan Jalan Pengalat Lok Kawi masing-masing di Sabah serta Jalan Dato Dol Said dan Bukit Tempayan masing-masing di Melaka.

Kluster keagamaan dilaporkan di Selangor iaitu Jalan Iskandar dan Taman Sri Muda; Jalan Perwira Lapan dan Taman Maju Jaya masing-masing di Johor, Dah Berapit (Kedah) serta Jalan Kretam Silimpopom (Sabah), menjadikan jumlah kluster aktif kini 528,” katanya lagi.

Sementara itu, kluster komuniti melibatkan Kenyalang Park dan Kampung Tebakang masing-masing di Sarawak, Dah Insun (Kedah), Padang Lalang Dua (Pulau Pinang), Batu Lapan Bukit Rambai (Melaka) serta Jalan Dara dan Sri Tanjung masing-masing di Pahang.

– BERNAMA

 


Pengarang :