Seorang penunggang motosikal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan sekitar Kuala Lumpur pada 2 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes wabak boleh cecah 10,000 sehari jika abai SOP

SHAH ALAM, 6 MEI: Jangkitan Covid-19 boleh mencecah 10,000 kes sehari selepas sambutan Aidilfitri jika rakyat alpa dan gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Menteri kanan keselamatan berkata perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menganggarkan kes boleh melonjak seperti di India, lapor Berita Harian.

“Situasi ini boleh berlaku jika tidak ada intervensi dan SOP tidak diikuti lagi oleh rakyat.

“Jika sampai 10,000 kes sehari, kita mungkin jadi seperti India. Kita tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan dan sebagainya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tindakan terbaik bagi melindungi nyawa meski menimbulkan kemarahan rakyat.

“Kita (kerajaan) tidak mahu dianggap tidak bertanggungjawab jika perkara buruk berlaku kepada rakyat,” katanya mengulas pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada halangan berhbung keputusan Kerajaan Selangor menutup bazar Ramadan di enam daerah negeri itu.

Jelasnya, Majlis Keselamatan Negara menetapkan tidak akan menutup semua premis perniagaan serentak, sebaliknya bertindak jika mengesan penularan kes Covid-19.

Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang dikenakan semula PKP mulai hari ini hingga 17 Mei, sementara Kuala Lumpur mulai esok hingga 20 Mei.


Pengarang :