Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesan kes aktif, penduduk digalak sertai saringan percuma

SHAH ALAM, 6 MEI: Penduduk Pandan Indah, Ampang digalak menyertai saringan Covid-19 secara percuma pada 11 Mei ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata inisiatif untuk mengenal pasti kes secara aktif berlangsung di Dewan Perbandaran Ampang Jaya mulai jam 9 pagi.

“Wabak tersebut masih aktif dalam komuniti kita, oleh itu saya amat galakkan penduduk untuk sertai saringan percuma ini. Jika sudah sertainya, kita sendiri berasa lebih yakin dan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata penduduk juga boleh memilih tujuh lokasi saringan lain sekitar Hulu Langat antaranya
Dewan Orang Ramai Bandar Rinching dan Dewan Orang Ramai Taman Mesra, Kajang pada 8 Mei.

Sementara pada 9 Mei, ujian Covid-19 berlangsung di Dewan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi dan Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong.

“Pada 10 Mei pula di Dewan Komuniti Pandan Mewah, Ampang dan Dewan Orang Ramai Titiwangsa Hulu Langat manakala Dewan Lembah Jaya, Ampang pada 11 Mei,” kata Ir Izham.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memanfaatkan rakyat Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :