Stadium Malawati Shah Alam yang dijadikan Pusat Penilaian Covid-19. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

Khemah berkipas untuk pesakit Covid-19 di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebanyak 20 khemah dilengkapi kipas, kerusi dan sistem audio disediakan bagi keselesaaan orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan tersebut yang ditambah baik sejak semalam untuk kegunaan pesakit dan petugas kesihatan.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa Covid-19 di Selangor dan melaksanakan langkah proaktif bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut dimaklumkan penambahan 300 katil di unit rawatan rapi (ICU), manakala 1,300 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang.

“Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya merawat pesakit dari Selangor dan Kuala Lumpur sahaja berikutan keputusan mewujudkan PKRC di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor,” kata Amirudin.

Kerajaan Selangor menyediakan beberapa inisiatif bagi melancarkan operasi CAC terutama di Stadium Malawati meliputi penyediaan 150 sukarelawan antaranya dalam kalangan penjawat awam.

Turut diwujudkan pusat panggilan untuk penilaian pesakit di rumah selain kaunter khas bagi memotong gelang atau penamatan kuarantin bagi mengurangkan kesesakan di CAC.

Dato’ Menteri Besar turut mencadangkan pusat penilaian swasta melibatkan klinik dan fasiliti perubatan dibenarkan membuat Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO).

Semalam, Amirudin berkata Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memenuhi keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor meskipun CAC bukan bawah bidang kuasanya.

 


Pengarang :