Orang ramai mengimbas aplikasi Selangkah sebelum melakukan ujian calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Klinik Selcare sedia tawar khidmat saringan di Pusat Penilaian Covid-19

GOMBAK, 19 MEI: Klinik Selcare bersedia menawarkan perkhidmatan saringan kepada individu di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata usaha dijalankan klinik di bawah pengurusannya itu adalah sebahagian gerak kerja bagi membantu Kerajaan Negeri menangani penularan pandemik.

“Kita tahu kebanyakan yang datang ke CAC adalah kanak-kanak dan remaja positif Covid-19. Sudah pasti penjaga mereka terdedah kepada jangkitan wabak.

“Justeru, kami akan bantu daripada segi saringan sebelum menjalani kuarantin supaya penjaga tahu status kesihatan sepanjang tempoh penjagaan individu berkenaan,” kata Norafida Zamri.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Sementara itu, Norafida berkata pihaknya kini sedang menyusun gerak kerja bagi membantu melancarkan operasi termasuk menempatkan sejumlah kakitangan di CAC.

Pada 17 Mei, Dato’ Menteri Besar berkata 150 sukarelawan akan ditambah dan ditempatkan bagi membantu kelancaran operasi CAC di Selangor khususnya CAC daerah Petaling di Stadium Malawati.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mereka adalah penjawat awam, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), petugas perubatan klinik Selcare serta pelajar perubatan universiti swasta akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 serta penilaian pesakit.


Pengarang :