Sekumpulan petugas kesihatan Labuan kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan Covid-19 di kawasan sasaran Kluster Saguking pada 16 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kluster tempat kerja membimbangkan, majoriti di kilang

SHAH ALAM, 27 MEI: Kluster tempat kerja menunjukkan aliran membimbangkan apabila merekodkan 1,085 kluster sejak pandemik menular dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan menyebut jumlah itu meliputi 129,322 kes yang dicatatkan antara 25 Januari tahun lalu hingga semalam.

“Bermula 1 April hingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes. Daripada jumlah itu, 233 kluster masih aktif melibatkan 16,785 kes.

“Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi dalam tempoh ini ialah Selangor dengan 74 kluster, Johor (53) dan Pulau Pinang (31),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata analisis terperinci sub-kategori menunjukkan sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster tertinggi iaitu sebanyak 132 kluster dalam tempoh sama.

Manakala sektor perkhidmatan merekodkan 57 kluster.

Dr Noor Hisham berkata aliran kluster juga tidak menunjukkan penurunan ketara meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa mulai 12 Mei.

“Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 hingga 26 Mei 2021 dan lebih separuh melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 peratus),” katanya lagi.


Pengarang :