Foto: Facebook Faisal Burger
AGENDANASIONAL

Kompaun RM50,000 tiga peniaga dikurangkan kepada RM2,000

SHAH ALAM, 23 MEI: Kompaun RM50,000 dikenakan kepada tiga peniaga di Kelantan pada April lalu kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikurangkan kepada RM2,000.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan berkata pengurangan dibuat selepas peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38; peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47, mengemukakan rayuan, lapor MalaysiaKini.

Jelasnya kompaun terhadap Wan Mohd Faisal berdasarkan garis panduan dan tidak boleh dikurangkan kerana merupakan kesalahan kedua.

“Bagi peniaga colek dan kedai runcit itu, kompaun dikeluarkan RM2,000 namun sekiranya ia dibayar dalam tempoh tujuh hari, mereka akan mendapat pengurangan 50 peratus.

“Jika mereka disahkan terdiri daripada golongan B40, mereka layak mendapat 50 peratus lagi pengurangan,” kata Dr Zaini Hussin.

Pada 27 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata kementeriannya menilai semula kompaun RM50,000 terhadap Wan Mohd Faizal atas kesalahan beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Penilaian bagi mempertimbangkan sama ada pengurangan atau pengecualian boleh diberikan jika didapati ada asas munasabah.

 

 

 


Pengarang :