Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Nurul Maizatul Akma Rozi (kanan) bersama rakannya Siti Nurfarah Syuhada Zahari (kiri) melakukan ulang kaji pelajaran sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program DidikTV@NTV7 di kediamannya pada 27 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPM perlu jelaskan serahan kontrak TV Pendidikan kepada Media Prima

SHAH ALAM, 24 MEI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menjelaskan isu penyerahan kontrak TV Pendidikan kepada syarikat swasta Media Prima Berhad (Media Prima) menerusi DidikTV sejak Februari lalu.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata penyiaran itu sebaiknya diberi kepada penyiar rasmi negara, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) kerana tidak melibatkan kos serta memiliki fasiliti lengkap.

“Apakah rasional dan keuntungan diterima rakyat dalam tindakan KPM membuat bayaran kepada Media Prima sedangkan boleh menggunakan stesen TV kerajaan ketika darurat ini.

“Kerajaan juga perlu jelaskan nilai kontrak memandangkan terdapat laporan kos berjumlah RM70 juta diperuntuk sepanjang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan Jawatan Kuasa Pendidikan PAKATAN semalam.

Jawatan kuasa dipengerusikan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan juga perlu memberi penerangan terperinci berhubung kontrak yang masih belum ditandatangani antara KPM dan DidikTV itu.

“Hala tuju TV Pendidikan berserta platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dan EduwebTV yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu dijelaskan.

“Bilangan penonton DidikTV sehingga kini dan berbaloikah dengan kos dilaburkan harus diberitahu. Diharapkan menteri serta timbalannya tidak memperjudikan pendidikan negara dan masa depan anak bangsa,” katanya.


Pengarang :