Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kurang bekalan punca Selangor lewat beli vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Isu kekurangan bekalan menyebabkan proses pembelian vaksin Covid-19 oleh Selangor menjadi lewat, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memang berhasrat membeli vaksin memandangkan peruntukan juga mencukupi.

“Namun, masalahnya tiada yang boleh bekalkan vaksin kepada Selangor dahulu. Kerajaan pusat pun alami masalah kekurangan.

“Hal ini menyebabkan bekalan vaksin masih tidak cukup untuk proses imunisasi kepada seluruh rakyat secara serentak.

“Pembekalan akan dilaksanakan secara berperingkat, setakat ini apa yang diturunkan persekutuan kepada Selangor, kita laksanakan. Kita tidak boleh mendahului mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi segmen “Tanya Apa Saja: Vaksin Covid-19” secara langsung di Facebook yang turut menampilkan Pengarah Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Dr Mohammad Farhan Rusli dan Ahli STFC, Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah menasihatkan orang ramai agar berhenti trend memilih vaksin sama ada mahu Pfizer atau Astrazeneca.

“Memilih ini hanya akan menyebabkan kekurangan vaksin jenis tertentu. Kita kena faham vaksinasi ini perlu ikut keutamaan yang mana kepada petugas barisan hadapan dahulu dan diikuti warga emas serta yang lain,” katanya.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha itu disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :