Pengurusan jenazah maut akibat Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
SELANGOR

Lagi individu 30-an antara 22 kematian di Selangor

SHAH ALAM, 22 MEI: Dua lelaki berusia lingkungan 30-an termasuk seorang warga asing antara 50 kematian dicatatkan hari ini akibat Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian direkodkan di Selangor membabitkan warga tempatan berusia 35 tahun yang menghidap kencing manis manakala warga asing berusia 32 tahun.

Katanya jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Dr Noor Hisham, empat individu berusia 40-an yang menghidap beberapa penyakit antaranya kencing manis, darah tinggi, jantung, dan obesiti turut menjadi mangsa wabak berkenaan.

“Wanita berusia 41 dan 47 tahun meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar manakala dua lelaki berusia 47, masing-masing di HTAR dan Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Baki kematian berusia antara 51 hingga 92 tahun yang kebanyakkan menghidap sakit kronik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam tiga individu lingkungan 30-an antara 50 kes kematian dengan seorang darinya yang berusia 33 tahun menghidap darah tinggi dan dislipidemia.

Hari ini Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 22 kes diikuti Kuala Lumpur (sembilan), Johor (lima), Kedah (empat), Perak (tiga), Sarawak dan Pahang (dua) manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan (satu).


Pengarang :