Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama seorang warga emas yang juga penerima vaksin Pfizer BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Laksana PKP penuh perlu ikut data tepat – Anwar

PETALING, 29 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh perlu mengikut data yang tepat dan cepat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang berkata semua pihak perlu diberi keizinan untuk mengumpulkan maklumat berkenaan bagi mengenal pasti lokaliti terlibat dengan penularan wabak Covid-19 secara lebih tepat.

“Pelaksanaan PKP penuh melibatkan kluster tertentu adalah lebih efektif. Kalau tidak kita akan ambil rambang sahaja.

“Kita minta supaya diberi keizinan sama ada kerajaan, bukan kerajaan, pusat kajian atau pertubuhan antarabangsa untuk kumpulkan maklumat ini,” katanya mengenai pelaksanaan PKP penuh susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembangkang juga memainkan peranan menyediakan pasukan sendiri bagi mengumpulkan data Covid-19 dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Sekiranya data itu dikongsi, kita dapat membuat unjuran saintifik berdasarkan kaedah sains dan membuat andaian berhubung sebarang kemungkinan,” katanya.


Pengarang :