Suasana di lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Laluan khas OKU, warga emas ikut jumlah pendaftaran awal

SHAH ALAM, 28 MEI: Jumlah laluan khas di pusat saringan bagi golongan berisiko ditentukan mengikut pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Kumpulan berisiko termasuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak.

Pengurus program Saringan Komuniti berkata antara satu hingga tiga laluan disediakan di setiap lokasi bagi memudahkan proses pengambilan sampel untuk mengesan jangkitan Covid-19.

“Kita lihat kesesuaian setiap tempat memandangkan peratusan golongan itu yang mendaftar berbeza. Biasanya, tiga laluan istimewa disediakan jika jumlah pendaftaran lebih 30 peratus.

“Kemudahan ini dibuka supaya mereka tidak perlu beratur lama untuk disaring dan tempoh menunggu dianggarkan antara 15 hingga 20 minit sahaja,” kata Dr Atikah Athirah Abdul Wahid.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma di Dewan Alamanda, Seksyen 20 di sini.

Sementara itu, Dr Atikah berkata seramai 56,463 individu berjaya disaring menerusi program pengawasan Covid-19 secara aktif membabitkan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, sebanyak 2,385 orang atau 4.22 peratus daripada jumlah itu disyaki positif wabak namun majoriti tidak mengalami sebarang gejala.

“Program saringan ini memang untuk mengesan mereka yang asimptomatik, justeru penduduk Selangor dipelawa menyertainya di setiap lokasi sehingga 10 Jun.

“Saya menyeru masyarakat untuk berusaha menjaga diri, ahli keluarga dan rakan selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana ramai petugas hadapan penat mental dan fizikal,” katanya lagi.


Pengarang :