Kesalahan berkait aktiviti pusat hiburan mencatat angka tertinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langgar SOP, pengunjung pusat hiburan didenda RM470,000

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 90 individu termasuk pemilik premis hiburan dikompaun sebanyak RM470,000 kerana disyaki melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Seramai 51 lelaki dan 39 wanita dikenakan kompaun itu dalam serbuan disertai 35 pegawai polis di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur berkata turut dirampas 500 botol minuman keras bernilai RM400,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu sebanyak RM470,000.

“Sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas bernilai RM400,000. Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras berjumlah RM870,000,” kata Datuk Azman Ayob.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31, Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 PU (A) 97/2021 – iaitu menjalankan aktiviti terlarang), selain Akta Kastam 1976 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 20 Mei berikutan terdapat 17 kluster baharu direkodkan selain kes harian makin meningkat.


Pengarang :