Petugas Klinik Selcare melakukan ujian calitan pandu lalu kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Orang Ramai Bandar Rinching, Semenyih pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lapan kematian akibat Covid-19 di Selangor, catat 1,783 kes

SHAH ALAM, 13 MEI: Sebanyak lapan kematian direkodkan di Selangor daripada 27 maut akibat Covid-19 di seluruh negara pada hari ini.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun berkata kes wabak sedikit menurun dengan 1,783 kes berbanding 2,082 kes semalam.

“Terdapat 27 kes kematian pada hari ini yang melibatkan lapan kes di Selangor diikuti Johor (5), Kelantan (3), masing-masing (2) di Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak, dan Pulau Pinang, serta Perak, Pahang, dan Labuan (satu).

“Lapan kematian membabitkan empat lelaki dan empat perempuan berusia lingkungan 74 hingga 82 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, dan jantung,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Katanya, terdapat dua kluster baharu dikesan di Selangor membabitkan kluster di tempat kerja.

“Kluster pertama adalah kluster Jalan Keretapi Lama yang dikesan di daerah Kuala Selangor yang mana 24 kes didapati positif Covid-19.

“Kluster kedua pula kluster Lima Jalan Kebun yang membabitkan 11 individu positif wabak yang dikesan di Klang dan Kuala Langat,” katanya.

 


Pengarang :