Aliran trafik di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan tanah air terkawal ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 21 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Larangan rentas negeri kekal hingga 17 Mei

SHAH ALAM, 4 MEI: Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan hingga 17 Mei atau tarikh lain yang diputuskan kelak, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata keputusan itu mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri di beberapa negeri sejak April, lapor Kosmo.

Beliau berkata beberapa kluster komuniti turut dikesan membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat selepas menghadiri majlis atau program.

“Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 1 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Ketika ini, lima negeri tersebut kecuali Kedah dikenakan PKP Bersyarat sehingga 17 Mei berikutan bilangan kes Covid-19 yang masih tinggi.


Pengarang :