Puspen Dengkil. Foto Facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia
AGENDANASIONAL

Lawatan keluarga di Puspen sempena Aidilfitri dibenar – AADK

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Sesi lawatan keluarga di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dibenarkan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bermula 13 Mei.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kenyataan memaklumkan ini bagi memberi ruang kepada keluarga dan klien (penghuni Puspen) meraikan Syawal bersama-sama selain mengeratkan hubungan antara AADK dengan masyarakat.

“Sesi lawatan perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.

“Kehadiran keluarga adalah secara janji temu awal melalui pegawai pemulihan yang boleh dibuat menerusi pangggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan melalui aplikasi WhatsApp, surat atau emel,” menurut kenyataan itu.

Puspen akan memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung tarikh dan sesi waktu perjumpaan selepas janji temu dibuat.

Setiap satu sesi lawatan hanya dibenarkan selama 30 minit dan hanya 25 individu sahaja dibenarkan bagi setiap satu sesi berkenaan.

AADK menjelaskan kebenaran lawatan hanya daripada keluarga terdekat sahaja misalnya, ibu bapa, kakak, adik atau pasangan yang telah disahkan oleh pegawai pemulihan.

“Klien (penghuni) hanya boleh menerima lawatan daripada dua ahli keluarga sahaja manakala kanak- kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

“Sesi lawatan akan berlangsung di ruang terbuka bagi tujuan kawalan keselamatan, penjarakan fizikal dan pemantauan sesi,” menurut kenyataan itu.

Keluarga yang hadir mesti mematuhi SOP keselamatan Puspen serta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :