Orang ramai menunggu giliran untuk mengimbas kod bar aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPK Taman Klang Jaya, Klang pada 31 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,200 individu jalani saringan di DUN Sentosa

KLANG, 31 MEI: Saringan Komuniti percuma di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik lebih 1,200 individu pada hari ini.

Koordinatornya berkata jumlah itu dijangka meningkat sehingga program berakhir berikutan angka terbabit hanya melibatkan individu yang membuat pradaftar.

“Setakat tengah hari tadi kira-kira 600 individu telah membuat saringan iaitu sebahagian besar hadir selepas membuat janji temu di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Berdasarkan makluman situasi sama berlaku di Pandamaran dengan orang ramai mengambil kesempatan membuat saringan sebelum perintah kawalan penuh dilaksana,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Klang Jaya di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendapati terdapat dalam kalangan peserta yang hadir dengan pelbagai gejala seperti demam, batuk, mata berair dan lesu sehingga perlu dipimpin.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN dengan memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :