Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 25 juta dos vaksin Pfizer tiba suku ketiga tahun ini

PUTRAJAYA, 27 MEI: Malaysia akan menerima 25.6 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Memaklumkan perkara itu pada sidang media Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini, beliau berkata ia susulan perjanjian tambahan sebanyak 12.8 juta dos, yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dengan syarikat pengeluar vaksin itu pada 21 Mei lepas.

“Ini menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang telah ditempah kerajaan meningkat kepada 44.8 juta atau cukup untuk 70 peratus daripada jumlah populasi,” katanya.

Untuk bulan Jun sahaja, Khairy berkata negara akan menerima 2.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu, selama lima minggu.

Khairy dalam pada itu berkata, rundingan terkini Malaysia dengan Sinovac Biotech dan Pharmaniaga Bhd diputuskan bahawa, kesemua tempahan sebanyak 12 juta dos vaksin keluaran syarikat dari Beijing, China itu, akan dihantar sepenuhnya pada Jun dan Julai ini.

Mengenai bekalan vaksin AstraZeneca pula, beliau menjangkakan penerimaan sebanyak 610,000 dos pada Jun dan 410,000 dos pada Julai.

“Bagaimanapun ini tertakluk kepada kelulusan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara),” katanya.

Dengan statistik jadual penerimaan tersebut, beliau menjangkakan sasaran 150,000 suntikan vaksin dapat dilaksanakan sehari bermula bulan depan, selain penambahan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Saya beri jaminan kepada rakyat yang belum dapat tarikh janji temu, akan memperolehinya dalam bulan-bulan akan datang. Penghantaran vaksin juga cukup dan cepat yang membolehkan program imunisasi berjalan lancar dan pantas,” kata Khairy.

-BERNAMA


Pengarang :