Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bilik operasi dan melihat jumlah terkini pesakit di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 4,000 individu dirawat di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Seramai 4,120 pesakit menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) buat masa ini.

Pengarahnya, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata jumlah itu lebih 70 peratus daripada 5,869 katil yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Tugas kita adalah sentiasa bersiap sedia dan memberikan kelegaan kepada sistem kesihatan di sekitar Selangor dan kita akan pastikan sistem kesihatan di hospital-hospital di Selangor terkawal.

“Iaitu kita dapat ‘support’ pesakit-pesakit Covid-19 supaya hospital lain boleh meneruskan perkhidmatan kesihatan yang lain seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, antara kaedah digunakan bagi membantu mengurangkan beban hospital lain adalah dengan menambah bilangan katil sekiranya berlaku pertambahan kes Covid-19.

“Melihat kepada pertambahan angka ketika ini kita juga merencana membuka semula sebuah lagi dewan. Ketika ini kita beroperasi dengan lima dewan.

“Sebelum ini kita pernah buka (dewan) dengan kapasiti mencecah 9,000 katil iaitu ketika saringan besar-besaran terhadap pekerja asing,” katanya.


Pengarang :