Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 500 kes ICU, tertinggi sejak pandemik menular

SHAH ALAM, 8 MEI: Sebanyak 506 kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital dalam negara direkodkan setakat semalam, tertinggi sejak pandemik Covid-19 menular.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan jumlah itu termasuk kes positif, disyaki dan dalam siasatan dengan 295 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kritikal meningkat 44 peratus berbanding dua minggu lalu dengan Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan peningkatan lebih tinggi.

“Sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatat kadar penggunaan katil ICU melebihi 70 peratus dan ada yang mencecah lebih 90 peratus.

“Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan kerana pesakit tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 akibat kesesakan ICU,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata musim perayaan, liputan suntikan vaksin yang belum meluas dan kepadatan penduduk meningkatkan kemungkinan hospital berdepan kenaikan kes.

Menurutnya, ia meliputi kes gejala serius iaitu kategori tiga hingga lima membabitkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit (komorbiditi).

Beliau berkata bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam tempoh terdekat.

 


Pengarang :