Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan ke atas peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 5,000 buat saringan, MB puji warga Subang Jaya cakna kesihatan

SHAH ALAM, 26 MEI: Dato’ Menteri Besar memuji penduduk Subang Jaya yang cakna terhadap kesihatan susulan lebih 5,000 orang menyertai saringan percuma Covid-19 pada 23 Mei.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka tersebut tertinggi pernah dicatatkan sejak program pengawasan wabak secara aktif dibuat di beberapa lokasi mulai 8 Mei.

“Seramai 5,096 penduduk Subang Jaya telah menjalani saringan Covid-19 percuma yang diberikan Kerajaan Negeri dan merupakan kehadiran tertinggi setakat ini.

“Tahniah warga Subang Jaya, terus cakna berhubung isu kesihatan serta nyawa,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Amirudin turut berkongsi keratan paparan video yang menyatakan kadar jangkitan di Subang Jaya hanya 130 orang atau 2.55 peratus meski ramai hadir untuk saringan.

Beliau juga memuji wakil rakyat kawasan itu Michelle Ng Mei Sze termasuk polis dan Majlis Bandaraya Subang Jaya atas kejayaan mengendalikan program dengan cekap dan lancar.

Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri antara 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :