Selangorkini
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin pada Program Suntikan Vaksin AstraZeneca secara sukarela di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 5 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin mega dibuka

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega yang boleh menguruskan lebih 2,000 janji temu penerima vaksin setiap hari akan dibuka bagi fasa ketiga Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata PPV mega pertama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dibuka hari ini untuk pemberian vaksin AstraZeneca mampu menampung 2,468 janji temu dalam sehari.

“Kita ada perancangan untuk buka lebih banyak PPV mega apabila lebih banyak dos vaksin akan datang selepas ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama pemberian vaksin Covid-19 AstraZeneca di PPV WTC di sini hari ini.

PPV itu merupakan antara empat PPV yang beroperasi memberi suntikan vaksin AstraZeneca kepada rakyat Malaysia dan warganegara asing yang tinggal di negara, bermula hari ini.

Tiga lagi PPV di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Center (IDCC) Shah Alam.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata keutamaan bagi memperluaskan PPV bagi pemberian suntikan vaksin AstraZeneca di negeri zon merah juga sedang dalam perbincangan apabila 1.1 juta dos lagi vaksin akan tiba di Malaysia pada bulan ini.

Pembukaan PPV tersebut mengambil masa yang singkat dan akan seiring dengan bekalan vaksin.

Sementara itu, Khairy berkata buat pertama kali empat PPV tersebut menggunakan khidmat pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan Protect Health Corp Sdn Bhd untuk memberikan suntikan vaksin.

Terdahulu, kesemua 286,000 dos AstraZeneca bagi fasa pertama habis ditempah dalam masa tiga jam sebaik pendaftarannya dibuka pada Ahad lepas dengan syarat-syarat tertentu.

Antaranya, penerima perlu berusia 18 tahun ke atas dan hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur selain sudah berdaftar sebagai penerima vaksin di bawah PICK.

Vaksin itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan awam apabila terdapat insiden pembekuan darah atau thrombosis dalam kalangan penerima.

– BERNAMA


Pengarang :