Gambar hiasan menunjukkan tangkapan suspek. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lelaki disyaki beri anak vape tular di media sosial ditahan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Polis menahan seorang lelaki yang tular di media sosial pada Ahad lepas kerana disyaki memberi anaknya yang berusia dua tahun setengah menghisap vape.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Setapak semalam.

Beliau berkata pada 4.50 petang semalam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis pergi ke sebuah rumah Kampung Baru Air Panas, di sini untuk menyelamatkan kanak-kanak itu bersama ibunya.

“Kedua-dua mereka (ibu dan anak) dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan perubatan dan mereka dimasukkan ke wad di hospital itu.

Siasatan awal mendapat kejadian berlaku pada Ahad di Taman Sahabat Jaya, Batu Caves, di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata lelaki terbabit direman tujuh hari mulai esok hingga Selasa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Baru-baru ini tular di media sosial, video seorang kanak-kanak lelaki menghisap vape yang disuapkan kepadanya dan perkara itu banyak menerima kecaman netizen.

– BERNAMA


Pengarang :