Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Lelaki usia 20 tahun di Selangor antara 63 kematian akibat Covid-19

SHAH ALAM, 26 MEI: Lelaki berusia 20 tahun antara 63 kematian yang direkod di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Namun, kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menyebut sama ada individu yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor itu ada sebarang penyakit.

Kenyataan sama juga menyebut seorang wanita bukan warganegara berusia 25 tahun yang ada masalah obesiti meninggal dunia di Hospital Serdang.

Seorang wanita berusia 30 tahun yang turut mengalami masalah kesihatan sama mati di Hospital Kajang.

Namun, majoriti kes kematian melibatkan individu lanjut usia yang ada penyakit tertentu, antaranya darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 24 kes kematian dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan) dan masing-masing lapan di Johor serta Kedah.

Perak pula merekodkan lima kematian, Melaka (tiga), masing-masing dua kes di Sarawak dan Negeri Sembilan serta satu di Sabah dan Pahang.

Sebanyak 2,432 individu maut di seluruh negara akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda negara.


Pengarang :