AGENDANASIONAL

LHDN hadkan waktu operasi ketika PKP

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus menawarkan perkhidmatannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bagaimanapun tempoh operasi dan kaedah perkhidmatan akan dihadkan dan disusun mengikut kesesuaian.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata bagi Kaunter Setempat (Perkhidmatan Percukaian) serta Kaunter Bantuan Khas Kerajaan, akan ditutup dan pembayar cukai serta pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Bagi pembayar cukai dan pelanggan yang perlu hadir ke kaunter, mereka wajib membuat janji temu terlebih dahulu dengan menghubungi Pejabat Pengarah Negeri atau Pengarah Cawangan atau Customer Care Officer (CCO) cawangan LHDN.

Menurut LHDN, urusan bagi Kaunter Duti Setem (Pejabat Setem Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil) pula dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Stamp Assessment And Payment System (STAMPS) sahaja.

“Pembayar Duti Selain Individu (Ejen STAMPS) diwajibkan untuk mengemukakan permohonan dan bayaran secara dalam talian melalui STAMPS.

“Waktu operasi kaunter adalah berdasarkan hari bekerja di setiap negeri iaitu pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, manakala penerimaan bayaran sehingga 12 tengah hari sahaja,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan bagi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching, waktu operasi sepanjang PKP 3.0 adalah pada Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut LHDN bayaran tunai dan cek boleh dibuat untuk cukai pegangan, seniman kembara, cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh serta bayaran kompaun, manakala bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit boleh dibuat untuk cukai pendapatan dan lain-lain cukai.

“Bagi perkhidmatan lain selain yang disebutkan, waktu operasi adalah Isnin hingga Jumaat tetapi perkhidmatan hanya melalui janji temu sahaja,” kata kenyataan itu.

Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi terhad iaitu bagi Hasil Care Line (Pusat Panggilan dan Live Chat) waktu operasinya adalah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang, manakala bagi ibu pejabat atau cawangan LHDN adalah pada 8 pagi hingga 4 petang, berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.


Pengarang :