Gambar hiasan menunjukkan tangkapan suspek. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lontar mercun ke arah polis: Dua remaja antara empat ditahan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Empat lelaki termasuk dua awal remaja ditahan bagi siasatan kes membakar mercun yang dilarang dan melontarnya ke arah anggota polis dalam kejadian di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pada mulanya tiga individu masing-masing berumur 12, 13 dan 44 tahun ditahan kira-kira pukul 9.00 malam ketika sedang bermain mercun jenis bola sebelum membalingnya dari tingkat 11 pangsapuri berkenaan.

Sebanyak 48 mercun jenis bola dirampas daripada beg silang yang dipakai oleh salah seorang tangkapan berusia 13 tahun.

“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah premis di pangsapuri berkenaan dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun pada hari yang sama kira-kira pukul 11 malam kerana menjual mercun tanpa lesen yang sah serta merampas 130 mercun bola dan pelbagai jenis bunga api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua tangkapan juga disiasat berhubung kes melontar mercun ke arah anggota polis yang berlaku di kawasan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kesalahan membakar mercun yang dilarang dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang.

Kesemua mereka dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Semalam, media melaporkan sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika cuba menghentikan kira-kira 200 penduduk yng berkumpul kerana membakar bahan berkenaan secara terbuka di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis berjaya mengawal tempat kejadian.

-BERNAMA


Pengarang :