Ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor di Seksyen 13, Shah Alam. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS sasar kutip zakat RM150 juta Ramadan ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasar kutipan RM150 juta bagi zakat harta, perniagaan dan fitrah pada Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM31 juta disasar melalui zakat fitrah, lapor Berita Harian.

“Pada Ramadan tahun lalu, kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan kita mula memperkasakan sistem dalam talian untuk pembayaran zakat.

“Dengan pelaksanaan sistem berkenaan, kita mengutip RM18 juta zakat fitrah tahun lalu (bagi kutipan dalam talian sahaja), justeru kita harapkan dengan pengalaman itu, kita lebih bersedia pada tahun ini serta mampu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini, semalam turut melancarkan aplikasi untuk memudahkan orang ramai mendapat maklumat.

Saipolyazan berkata aplikasi yang dalam tempoh percubaan minggu lalu dimuat turun lebih 500 kali meski ia belum diuar-uarkan secara rasmi.

“Malah, sudah ada yang menunaikan zakat menggunakan aplikasi berkenaan yang mana kita berjaya mengutip kira-kira RM60,000 ketika ia belum dilancarkan secara rasmi.

“Aplikasi ini sudah pasti akan memudahkan pembayar zakat terutamanya apabila PKP akan dilaksanakan semula di enam daerah di Selangor mulai 6 Mei (esok),” katanya.

Aplikasi tersebut meliputi semakan penyata, status bantuan, pengumuman kempen dan promosi terkini LZS, maklumat nisab zakat dan harga emas harian. Ia boleh dimuat turun melalui Playstore dan App Store.


Pengarang :