Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.77 juta daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dalam satu majlis di Shah Alam pada 4 Mei 2021. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS terima zakat niaga RM7.65 juta dari 24 syarikat

SHAH ALAM, 6 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kelmarin menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7.65 juta daripada 24 syarikat korporat.

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad mendahului senarai berjumlah RM2.77 juta, diikuti Kumpulan Perangsang Selangor Berhad sebanyak RM2.5 juta.

Sementara Maybank Islamic Bank Berhad mengeluarkan zakat sebanyak RM453,959, CIMB Islamic Bank Berhad (RM300,000) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM289,813).

LZS dalam kenyataan di Facebook berkata pihaknya turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM424,007 kepada pelajar asnaf dan dua pertubuhan.

“Majlis Kanser Nasional dan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia masing-masing menerima sebanyak RM200,000 bagi bantuan geran kos rawatan dan perubatan.

“Manakala dua pelajar asnaf iaitu Hasbe Zuliyana Hasbe Zuzaini menerima bantuan dermasiswa pengajian tinggi berjumlah RM14,000 dan RM10,007 kepada Asma`Abdul Muthalib,” kata agensi itu.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop.


Pengarang :