Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan disaran beli vaksin untuk pekerja, daftar di SELangkah

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Negeri menawarkan pembelian vaksin kepada majikan untuk diberi kepada pekerja sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata syarikat yang berminat boleh mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Untuk makluman, SELangkah membuka pendaftaran kepada syarikat yang berminat untuk mendapatkan vaksin untuk pekerja mereka,” kata Dr Siti Mariah Mahmud menerusi kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman https://vax.selangkah.my

Terdahulu, beliau menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan pemberian 500,000 vaksin Sinovac kepada penduduk negeri ini.

Ahli Dewan Seri Serdang menegaskan kenyataan rasmi mengenai vaksin hanya dikeluarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atau beliau sahaja.

Beliau juga meminta penduduk negeri ini mendapatkan maklumat yang sahih melalui platform media sosial menerusi:

1.  Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari

2.  Facebook Dr Siti Mariah

3.  Facebook Selangor Task Force Covid 19

4.  Facebook Media Selangor

Pada 23 Februari, Dr Siti Mariah berkata pekerja berisiko tinggi di negeri ini antara kumpulan terawal menerima suntikan vaksin yang dibeli majikan mereka.

Katanya, langkah itu berikutan golongan tersebut, termasuk bukan warganegara antara yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 di tempat kerja.

Pada 18 Januari, Selangor berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin dan usaha itu disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 


Pengarang :